Julai 2005

Sejarah Komputer

Sebelum terciptanya komputer yang pertama, manusia telah mula menggunakan alat-alat yang boleh membantu manusia melakukan pengiraan dan merakam maklumat. Sejarah komputer merupakan suatu perkara yang perlu dihargai. Dengan mengimbas kembali sejarah perkembangannya, kita akan menghargai konsep asas yang dihasilkannya yang kemudiannya digunakan oleh teknologi komputer moden sekarang ini. Berikut diperturunkan alat-alat yang digunakan oleh manusia untuk membantu dalam pengiraan dan merakamkan maklumat:

A. Alat tulis

Orang zaman dahulu telah mula merekodkan maklumat. Orang Sumeria menggunakan tanah liat sebagai tempat menulis. Orang Greek dan Romania menggunakan buku yang diperbuat daripada kepingan kayu nipis. Orang Mesir menggunakan "Papyrus" sebagai tempat menulis dan "Calmus" sebagai alat menulis.

B. Alat mengira

Sejarah alat mengira telah bermula sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Antara contoh yang paling mudah ialah penggunaan jari tangan dan jari kaki. Kemudian batu dan kayu pula digunakan untuk membolehklan pengiraan yang lebih sukar. Sedikit demi sedikit manusia telah mencipta alat-alat yang lebih maju mengikut perkembangan masa. Berikut diperturunkan alat-alat yang digunakan dalam pengiraan.

 

Cipoa - Satu alat pengira yang klasik

Cipoa

Alat ini dianggap sebagai alat mengira mekanik yang asli. Alat ini telah digunakan oleh orang Babilon (2200 S.M) dan orang Mesir (460 S.M) bagi melakukan pengiraan tambah, tolak, darab dan bahagi. Alat mengira cipoa ini masih digunakan lagi sehingga ke hari ini. Misalnya terdapat tauke restoran berbangsa Cina yang menggunakan dan apabila ditanya mengapa tidak menggunakan mesin mengira? Jawabnya, menggunakan cipoa lebih pantas daripada mesin pengira!

 

Mesin Pascal

Mesin mengira Pascal

Alat ini merupakan alat mengira mekanik. Alat ini dicipta oleh seorang saintis Perancis bernama Blaise Pascal pada tahun 1642. Mesin ini menggunakan roda-roda dengan setiap satu roda mempunyai angka 0 hingga 9. Pengiraan dilakukan dengan kaedah putaran roda dan setiap satu putaran penuh roda di sebelah kanan akan menyebabkan 0.1 putaran roda disebelah kiri. Alat ini berupaya melakukan tambah dan tolak sahaja.

 

Kalkulator Leibniz

Alat ini direka oleh seorang ahli matematik Jerman bernama Baron Wilheim Von Leibniz dan digunakan pada tahun 1673. Alat ini merupakan ubahsuaian daripada mesin Pascal. Kalkulator ini boleh melakukan operasi darab dan bahagi secara terus.

Operasi darab dilakukan dengan menambahkan siri-siri nombor yang ingin didarab. Operasi bahagi pula dilakukan dengan menolak siri-siri nombor yang ingin didarabkab. Mesin ini juga berupaya melakukan operasi aritmetik yang agak kompleks.

 

 Enjin Pembezaan dan Penganalisaan Babbage

Enjin Pembezaan dan Penganalisaan Babbage

Enjin Pembezaan telah direka dengan bantuan kewangan kerajaan British oleh Charles Babbage untuk melakukan pengiraan dan mencetak jadual-jadual matematik dalam tahun 1830. Beliau kemudiannya telah mereka satu mesin yang lebih baik daripada ciptaan pertamanya dalam tahun 1834. Mesin ini dinamakan Enjin Penganalisaan. Enjin Penganalisaan mempunyai empat unit asas iaitu;

Enjin Pembezaan Babbage Ba1. Storan
Unit ini digunakan untuk menyimpan hasil pengiraan.
2. Kilang
Unit ini digunakan untuk melakukan operasi aritmetik.
3. Sistem Pegumpil dan Gerigi
Unit ini digunakan untuk memindahkan data antara storan dan kilang.
4. Unit Input / Output
Unit ini digunakan untuk membaca data dengan menggunakan kad tebuk dari luar dan memaparkan hasil pengiraan pada kertas.

Enjin Penganalisaan ini mempunyai banyak persamaan dengan organisasi komputer sekarang. Mesin ini tidak dapat disudahkan pembinaannya oleh Babbage kerana teknologi pada zaman tersebut amat terhad. Namun usahanya telah disambung dengan jayanya oleh George Scheutz (1855) dan oleh anak lelaki Babbage iaitu Henry (1889).

C. Mesin Tebuk

Kad tebuk buat pertama kalinya digunakan sebagai alat input oleh Joseph Jacquard pada mesin tenunan automatiknya dalam tahun 1801. Kad yang dipenuhi lubang-lubang, berupaya mengawal tangkai dayung untuk menghasilkan corak tenunan. Konsep kad tebuk ini merupakan permulaan pengenalan terhadap penggunaan nombor penduaan dengan nilai '1' menandakan ada lubang dan '0' apabila tidak ada lubang.

Penggunaan kad tebuk telah diperkembangkan oleh Herman Hollerith dalam mesin kad tebuknya. Mesin ini telah digunakan untuk bancian penduduk Amerika Syarikat pada tahun 1890. Dengan menggunakan mesin ini, bancian siap dilakukan dalam tempoh 2.5 tahun sahaja berbanding dengan bancian secara insani sebelumnya yang mengambil masa selama 10 tahun.

Penggunaan kad tebuk telah diperluaskan penggunaannya kepada bidang-bidang yang lain seperti system akaun, insurans, penjualan dan sebagainya.

 

 

D. Komputer Elektronik

Tamadun komputer elektronik bermula selepas tahun 1940. Komputer elektronik telah menyelesaikan banyak masalah yang ditimbulkan oleh alat mengira sebelumnya terutamanya dari segi hasil pengiraan yang kurang tepat, kos yang tinggi dan saiznya yang besar.

Komputer telah dikelaskan kepada beberapa generasi. Setiap perubahan generasi telah menampakkan perubahan teknologi rekaan komputer. Sebelum komputer generasi dikeluarkan, terdapat sejenis komputer yang direka oleh Howard Aiken yang dianggap sebagai Bapa Komputer Elektronik, dalam tahun 1937. mesin ini diperbuat daripada gabungan komponen elektronik dan mekanik. Mesin ini telah meningkatkan keupayaan mesin kad tebuk dari segi pelaksanaan masalah saintifik dan matematik. Mesin Aiken merupakan satu jejak kepada detik permulaan pembangunan dalam sejarah perkembangan komputer elektronik moden.

By : Angah Komputer